KELEBIHAN RATIB AL-HADDAD
Ratib
Al-Haddad ini mengambil nama sempena nama penyusunnya, iaitu Imam
Abdullah bin Alawi Al-Haddad, seorang pembaharu Islam (mujaddid) yang
terkenal. Daripada doa-doa dan zikir-zikir karangan beliau, Ratib
Al-Haddad lah yang paling terkenal dan masyhur. Ratib yang bergelar
Al-Ratib Al-Syahir (Ratib Yang Termasyhur) disusun berdasarkan
inspirasi, pada malam Lailatul Qadar 27 Ramadhan 1071 Hijriyah
(bersamaan 26 Mei 1661).
Ratib
ini disusun bagi menunaikan permintaan salah seorang murid beliau,
‘Amir dari keluarga Bani Sa’d yang tinggal di sebuah kampung di Shibam,
Hadhramaut. Tujuan ‘Amir membuat permintaan tersebut ialah bagi
mengadakan suatu wirid dan zikir untuk amalan penduduk kampungnya agar
mereka dapat mempertahan dan menyelamatkan diri daripada ajaran sesat
yang sedang melanda Hadhramaut ketika itu.
Pertama
kalinya Ratib ini dibaca ialah di kampung ‘Amir sendiri, iaitu di kota
Shibam setelah mendapat izin dan ijazah daripada Al-Imam Abdullah
Al-Haddad sendiri. Selepas itu Ratib ini dibaca di Masjid Al-Imam
Al-Haddad di Al-Hawi, Tarim dalam tahun 1072 Hijriah bersamaan tahun
1661 Masehi. Pada kebiasaannya ratib ini dibaca berjamaah bersama doa
dan nafalnya, setelah solat Isya’. Pada bulan Ramadhan ia dibaca sebelum
solat Isya’ bagi mengelakkan kesempitan waktu untuk menunaikan solat
Tarawih. Mengikut Imam Al-Haddad di kawasan-kawasan di mana Ratib
al-Haddad ini diamalkan, dengan izin Allah kawasan-kawasan tersebut
selamat dipertahankan daripada pengaruh sesat tersebut.
Apabila
Imam Al-Haddad berangkat menunaikan ibadah Haji, Ratib Al-Haddad pun
mula dibaca di Makkah dan Madinah. Sehingga hari ini Ratib berkenaan
dibaca setiap malam di Bab al-Safa di Makkah dan Bab al-Rahmah di
Madinah. Habib Ahmad bin Zain Al-Habsyi pernah menyatakan bahawa sesiapa
yang membaca Ratib Al-Haddad dengan penuh keyakinan dan iman dengan
terus membaca “ La ilaha illallah” hingga seratus kali (walaupun pada
kebiasaannya dibaca lima puluh kali), ia mungkin dikurniakan dengan
pengalaman yang di luar dugaannya.
Beberapa
kebezaan boleh didapati di dalam beberapa cetakan ratib Haddad ini
terutama selepas Fatihah yang terakhir. Beberapa doa ditambah oleh
pembacanya. Al Marhum Al-Habib Ahmad Masyhur bin Taha Al-Haddad memberi
ijazah untuk membaca Ratib ini dan menyarankannya dibaca pada masa–masa
yang lain daripada yang tersebut di atas juga di masa keperluan dan
kesulitan. Mudah-mudahan sesiapa yang membaca ratib ini diselamatkan
Allah daripada bahaya dan kesusahan. Ameen.
Ketahuilah
bahawa setiap ayat, doa, dan nama Allah yang disebutkan di dalam ratib
ini telah dipetik daripada Al-Quran dan hadith Rasulullah S.A.W.
Terjemahan yang dibuat di dalam ratib ini, adalah secara ringkas.
Bilangan bacaan setiap doa dibuat sebanyak tiga kali, kerana ia adalah
bilangan ganjil (witir). Ini ialah berdasarkan saranan Imam Al-Haddad
sendiri. Beliau menyusun zikir-zikir yang pendek yang dibaca berulang
kali, dan dengan itu memudahkan pembacanya. Zikir yang pendek ini, jika
dibuat selalu secara istiqamah, adalah lebih baik daripada zikir panjang
yang dibuat secara berkala atau cuai[1]. Ratib ini berbeza daripada
ratib-ratib yang lain susunan Imam Al-Haddad kerana ratib Al-Haddad ini
disusun untuk dibaca lazimnya oleh kumpulan atau jamaah. Semoga usaha
kami ini diberkahi Allah.
Komentar